IKUT QURAN – APA MAKNANYA?
Oleh: Kassim Ahmad
18 Februari, 2012
Pada tahun 1982 Dr. Rashad Khalifa menerbitkan sebuah buku menolak Hadis secara keseluruhan dan menganjurkan supaya umat Islam ikut Quran semata-mata. Hujah beliau Hadis yang sebenar itu Quran. Beliau lupa bahawa perkataan ‘hadis’ juga bermakna ‘berita’ atau ‘perkara’.
Apabila saya menerbitkan buku saya Hadis: Satu Penilain Semula pada tahun 1986, beliau menelefon saya menyatakan beliau faham mengapa saya tidak menolak Hadis secara total.
Sebenarnya pendirian saya berbeza dengan beliau secara berprinsip, bukan kerana saya mahu bertolak ansur dengan prasangka kebanyakan orang Islam yang taksub kepada hadis.
Ramai juga orang Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, menjadi pengikut Dr. Rashad Khalifa, dan menolak pendirian saya. Esei ini saya tulis dengan tujuan untuk menghuraikan makna sebenar cogankata “Ikut Quran”.
Surah Al-Nesa (4), ayat 59 menyatakan dua sumber kuasa. Sumber utama ‘Allah dan rasul’; sumber tambahan ‘mereka yang berkuasa’. Ayat itu berbunyi:
“Hai orang yang beriman, hendaklah kamu taat kepada Allah, dan hendaklah kamu taat kepada rasul, dan kepada mereka yang berkuasa di antara kamu…”
Ayat ini penting sekali, kerana ia menerangkan hakikat dua sumber kuasa atau undang-undang: pertama dan utama, Quran; kedua dan sampingan, pemimpin.
Quran boleh diumpamakan sebagai perlembagaan, dan pemimpin, undang-undang tambahan atau undang-undang kecil, dengan syarat undang-undang tambahan ini tidak melanggar perlembagaan.
Di bawah konsep ‘pemimpin’ boleh dimasukkan apa yang dikatakan Hadis/Sunnah Nabi, dan ajaran-ajaran manusia yang lain, seperti sains, sejarah dan falsafah. Ajaran-ajaran ini, yang selaras dengan ajaran Quran, terpakai; yang bercanggah, batal.
Inilah makna ayat ini. Amat jelas dan tiada kekeliruan sedikit pun di dalamnya.
Ambil contoh wahyu yang pertama yang turun kepada Nabi Muhammad:
“Bacalah dengan nama Tuanmu yang menjadikan …” (96: 1-5)
Nyatalah perintah baca ini menyuruh manusia membaca semua dengan kritis: ambil yang baik dan buang yang buruk. Ini makna frasa ‘baca dengan nama Tuanmu yang menjadikan’.
Perintah ini bukan ditujukan kepada Quran, kerana tiada disebut perkataan ‘Quran’ dalam ayat itu. Lagi pun, Quran belum ada pada masa itu! Ini bermakna Hadis pun kita kena baca juga, tetapi baca dengan kritis.
Begitu juga kita kena baca kitab Taurat, dan kitab-kitab agama-agama lain.
Begitu juga kita kena baca sains, sejarah dan falsafah. Sebenarnya, perintah baca ini suatu revolusi besar dalam perkembangan fikiran manusia.
Apabila kita mengikut Quran, tidak bermakna kita tidak perlu membaca buku-buku lain. Quran sendiri, seperti yang telah saya tunjukkan, menyuruh kita membaca buku-buku lain dengan syarat kita membacanya dengan kritis.
Timbul soalan siapakah yang menghuraikan Quran, Nabi Muhammad (seperti yang didakwa oleh Ahlul-Hadis), atau siapa? Seperti biasa, Quran memberi jawapannya pada banyak tempat .
Ayat 55: 1-2 menyatakan Tuhan yang mengajar Quran.
Ayat 75: 16-19 menyatakan Tuhan dan agen-agen-Nya (termasuk nabi Muhammad dan cendekiawan pada semua zaman pasca-Quran).
Ayat 35: 31-32 menyatakan mereka yang Tuhan pilih saja daripada generasi-generasi kemudian yang boleh menerimanya, yakni yang beriman dengan Quran dan boleh menghuraikannya.
Ayat Surah An Nisak 3: 7 menyatakan bahawa tidak siapa boleh mentafsirkan ayat-ayat kiasan, melainkan Tuhan dan mereka yang pakar.
Saya telah memberi sembilan prinsip kaedah tafsir yang saintifik dalam buku saya Hadith: A Re-evaluation (1996: U.S.A.), hlm. 126-151.
Saya ingin memperingatkan pengkaji Quran supaya membaca dan mengkaji Quran secara keseluruhan. Pembacaan dan pengkajian mestilah dilakukan secara keseluruhan, bukan setengah-setengah.
“Kami akan menyoal mereka yang membahagi-bahagikan, yang menerima Quran setengah-setengah saja.” (Quran, 15: 90-91)
Quran juga menyuruh kita bertanya kepada para ilmuwan (perhatikan bukan ulama, kerana kasta paderi tiada dalam Islam; ia diimport dari agama-agama Hindu dan Kristian). (16: 43; 10: 94)
Dan kami telah utus sebelum engkau hanyalah beberapa orang lelaki yang Kami sampaikan wahyu kepada mereka .Sebab itun bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan kalu kamu tidak tahu ( Surah Ab Nahl 16:43)
“Dan kalau kirannya engkau masih ragu-ragu tentang apa yang Kami telah turunkan kepada engkau tanyalah kepada orang-orang yang membaca Kitab sebelum engkau .Sesubgguhnya telah datang kepada engkau kebenaran dari Tuhanmu sebab itu janganlah engkau termasuk orang yang ragu-ragu.”
Dengan ringkasnya, mengikut Quran bererti mengikut kebenaran dan ajaran-ajaran yang logikal, bukan khurafat.