web analytics

Tengku Razaleigh Ulas Punca Rakyat Susah !

 

NASIONAL
Hutang negara jejas hidup rakyat

 Tengku Razaleigh Hamzah

Tengku Razaleigh Hamzah kini berusia 81 tahun ( lahir 1937).Beliau terdidik dalam bidang ekonomi, graduan Universiti Belfast. Pengalamannya dalam pengurusan ekonomi luas dan terbukti. Beliau pengasas mendiang  Bank Bumiputra, peneraju Petronas, penggerak Dasar Ekonomi Baru, Menteri Kewangan yang cemerlang. Imejnya agak terpalit dengan krisis BMF. Namun pada keseluruhannya pencapaian beliau dalam pengurusan ekonomi sangat cemerlang. Ulasan dan perbandingan yang dibuat antara zamannya dengan kini amat tepat. Kenapakah ekonomi kita bermasalah. Petunjuknya ialah hutang negara yang kian membumbung.Pembayaran bunga atas pinjaman sudah melepasi 10 % GDP kita. Wang sepatutnya dogunakan untuk pembangunan dicurahkan untuk bayar hutang.

HUTANG negara yang tidak terkawal akan memberikan kesan buruk terhadap kehidupan rakyat.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, antaranya ialah tiada kenaikan pendapatan, selain menyebabkan pelabur beralih ke negara lain.

“Selain itu, hutang isi rumah kita, kini yang tertinggi di Asia akan semakin meningkat,” katanya, semalam.

Menurutnya, tahap keselesaan rakyat adalah apabila mereka tidak dibebankan dengan  tekanan kewangan yang sukar diuruskan negara.

“Realiti yang sedih ialah kepimpinan kita gagal membendung hutang negara. Sehingga September 2017, hutang negara RM687.43 bilion iaitu kenaikan tujuh kali ganda setengah, berbanding RM91 bilion pada 1997.

“Meletakkan negara berhutang untuk bayar faedah ke atas hutang lama tidak beri manfaat kepada rakyat, sebaliknya berhutang demi pertumbuhan ekonomi boleh dianggap wajar,” katanya.

Beliau mencadangkan setiap pelaburan kerajaan perlu diluluskan di dalam bajet tahunan setelah resolusinya mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

“Pelaburan sesebuah badan berkanun atau agensi kerajaan perlu lalui proses sama bagi memastikan badan ini bertanggungjawab atas setiap sen dilabur atau dibelanjakan,” katanya.

TUN DR MAHATHIR PEMIMPIN BAGUS LEBIH HEBAT DARIPADA SAYA !

TENGKU RAZALEIGH AKAN AKTIF SEMULA DEMI  NEGARA  JIKA KHIDMATNYA DIPERLUKAN UNTUK MENGEMUDI  SAAT SUKAR SELESAIKAN KEMELUT MALAYSIA !

tengku-li-3

SHAH ALAM: Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ialah anak menteri besar Kelantan pertama selepas negara merdeka, dan antara kerabat diraja paling dikenali.

Beliau juga dikenali sebagai Ku Li, walaupun panggilan itu sama bunyi dengan perkataan kuli bermaksud buruh kasar, tetapi gelaran itu dibawa ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini dengan penuh bangga.

“Tidak, saya yang paling lama berkhidmat di dunia. Tiada orang lain melakukannya secara berterusan selama 45 tahun,” katanya berseloroh merujuk tempoh perkhidmatannya sebagai ahli Parlimen di negara ini, dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Pada usia 81, Ku Li yang mendirikan rumah tangga lebih lambat daripada ahli politik lain di zamannya, masih tampak bertenaga, dengan perwatakannya yang suka berjenaka dan tenang.

Begitu juga ketika beliau berjenakan ketika mengimbau peristiwa paling mencabar buat dirinya 30 tahun lalu, iaitu apabila bersaing dengan Tun Dr Mahathir Mohamad merebut jawatan presiden dalam pemilihan Umno.

Saingan sengit pada April 1987 itu menyaksikan Ku Li tewas kepada Dr Mahathir dengan hanya 43 undi. Ia menjadi cubaan terakhirnya untuk kembali ke Kabinet – malah untuk menduduki jawatan tertinggi – setelah bertahun-tahun beliau dibawa masuk ke dalam kerajaan Tun Abdul Razak Hussein, bapa perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau paling diingati dalam peranannya menubuhkan Semangat 46, parti yang diasaskannya sebelum pilihan raya umum (PRU) 1990 dan bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang utama ketika itu seperti PAS, DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Saya tidak berada dalam pembangkang,” kata Ku Li yang kembali ke Umno pada 1996.

“Saya dipaksa melawan kerana saya tidak dibenarkan menjadi ahli Umno Baru yang ditubuhkan Dr Mahathir. Dia tidak suka saya, jadi dia tidak benarkan saya masuk.”

Umno Baru adalah ubat segera Dr Mahathir selepas parti asal itu diisytiharkan haram berikutan petisyen 11 individu yang bersekutu dengan Ku Li dalam kumpulan yang dinamakan Team B, beberapa bulan selepas kekalahannya.

Hari ini, keadaan seolah-olah berubah. Ku Li masih bersama Umno, tetapi Dr Mahathir kini melawan parti itu dari luar menerusi PPBM. Seperti Semangat 46, PPBM juga berasaskan Melayu.

Ku Li bagaimanapun tidak selesa dengan perbandingan itu kerana beliau “terpaksa membentuk Semangat 46”, tidak seperti Dr Mahathir yang “keluar secara marah”.

Pemimpin bagus, pasukan teruk

Ku Li yang 10 tahun lebih muda daripada Dr Mahathir, tidak kagum dengan pasukan pemimpin di bawah parti Dr Mahathir kini.

“Dr Mahathir seorang pemimpin yang bagus, tetapi dia tiada pasukan yang betul bersamanya. Ia sangat sukar, ia tidak teratur kerana mereka tidak mempunyai kepimpinan.”

Ditanya apa nasihatnya kepada Dr Mahathir, selaku orang yang berpengalaman melawan Umno, Ku Li menjawab: “Dia lebih bagus daripada saya. Saya tidak rasa dia mahu dengar apa yang saya perlu katakan.

“Siapalah saya berbanding dia?”

Ku Li ialah pengerusi pertama Petronas dan menjawat menteri kewangan dari 1976 hingga 1984, setahun sebelum negara menghadapi kemelesetan ekonomi paling teruk.

Beliau sudah merasakan cukup dengan pencapaiannya dalam politik. Mana tidak, beliau sudah memenangi PRU sebanyak 11 kali, dengan kali terakhir pada 2013.

Ku Li ditanya sama ada akan bertanding pada PRU akan datang.

“Saya tidak tahu, saya mahu bersara. Saya benar-benar ingin bersara. Saya telah berkhidmat selama 45 tahun (sebagai ahli Parlimen), dan lebih 60 tahun dalam parti,” katanya sambil menambah beliau sudah berusia 81 tahun dan tidak berharap untuk hidup lebih lama.

Mengenai Dr Mahathir yang berusia 93 tahun dan masih aktif berpolitik.

“Dia istimewa! Jika dia tidak istimewa, saya tidak akan melawannya,” katanya yang meninggikan suara sedikit, mungkin berharap mengakhiri temubual itu.

Beliau diasah lagi, dan diajukan soalan sama ada masih akan menerima jawatan tertinggi yang pernah hampir dikecapinya.

“Sekiranya ia adalah kehendak rakyat untuk menyelamatkan negara daripada kehancuran, maka seseorang itu harus akur, tidak kira betapa sukar sekalipun,” katanya ketika ditanya jika beliau akan menerima tawaran menjadi perdana menteri.

Berikut petikan wawancara FMT bersama Ku Li:

Mengenai Dr Mahathir

FMT: Apakah nasihat anda kepada Dr Mahathir jika bertemu beliau hari ini?

Ku Li: Dia lebih bagus daripada saya. Saya tidak rasa dia mahu dengar apa yang saya perlu katakan.

FMT: Adakah anda kata Dr Mahathir lebih bagus daripada anda?

Ku Li: Mestilah dia lebih bagus. Dia ada pengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri. Dia telah melihat dunia, dia pernah runding perjanjian untuk negara, untuk parti. Siapalah saya berbanding dia?

FMT: Adakah Dr Mahathir boleh memberi impak?

Ku Li: Jawapan saya ya, boleh kerana pengalaman, pengetahuan luas tentang mengurus dan mengendalikan sesuatu. Sama ada dia akan berjaya, saya tak tahu. Dia tidak ada pasukan macam pasukan saya dalam Semangat 46.

FMT: Bagaimanakah anda membandingkan “Team B” anda dengan barisan menteri Umno sekarang?

Ku Li: Najib pembantu saya ketika itu (ketawa).

Mengenai persaraan daripada politik

FMT: Adakah anda akan bertanding pada pilihan raya?

Ku Li: Saya tidak tahu. Saya mahu bersara. Saya benar-benar ingin bersara. Saya telah berkhidmat selama 45 tahun (sebagai ahli Parlimen), dan lebih 60 tahun dalam parti.

FMT: Tetapi bagaimana kalau mereka mencari anda apabila Parlimen tergantung?

Ku Li: Entahlah. Itulah yang mereka lakukan pada pilihan raya lalu. Saya sepatutnya bersara sebelum pilihan raya umum ke-13. Saya mahu berundur. Saya kini berusia 81 tahun. Berapa lama lagi anda mahu hidup?

FMT: Ada seorang lelaki berusia 93 tahun yang mengembara seluruh negara…

Ku Li: Dia istimewa! Jika dia tidak istimewa, saya tidak akan melawannya (ketawa).

FMT: Jadi apa rancangan Tengku Razaleigh selepas bersara?

Ku Li: Saya boleh melakukan banyak perkara. Mungkin berehat atau terlibat dalam kerja amal. Saya tidak berminat dengan wang. Saya tidak menerima sebarang pelantikan sejak saya berhenti menjadi menteri kewangan. Saya juga tidak menganggotai lembaga pengarah syarikat. Saya tidak mahu ke sana sini bagi pihak taikun dari London atau Jepun, untuk bertemu menteri ini dan pegawai itu. Bukannya kerana saya orang besar. Saya boleh hidup dengan pendapatan saya, tidak ada masalah. Saya tidak mencuri, saya tidak menipu.

FMT: Anda tidak terima sumbangan?

Ku Li: Tidak. Saya tidak pernah meminta derma. Saya selalu bertanding untuk pilihan raya dengan wang sendiri.

DILEMA MELAYU
SIRI 561
KEADILAN YANG TEMPANG

Dalam semua agama keadilan dijadikan sumber kekuatan para penganutnya. Dalam Islam keadilan diterapkan dalam hubungan sesama manusia walau pun berlainan agama, budaya dan bahasa. Allah menjadikan manusia berbagai bangsa, berbagai warna kulit, berbagai bahasa untuk mengenali antara satu dengan lain.
Waktu Nabi Muhamad saw menggubal perlembagaan Islam pertana di Madinah baginda mengambil kira masyarakat Arab berbilang agama di Madinah, antara Islam, Kristian dan Yahudi. Demi perpaduan, kerjasama dan keadilan baginda, dalam salah satu dari 17 fasal PIAGAM MADINAH menyebut sekiranya jiran kamu itu bukan Islam dan dia diinayai oleh penguasa atau orang Islam maka jadi tanggungjawab jiran Muslim membantu jiran bukan Islam tersebut. Inilah neraca keadilan yang diabadikan oleh Nabi Muhamad saw dalam perlembagaan Islam yang pertama.
Dalam negara bertamadun ‘the rule of law’ sangat penting. Tidak ada manusia yang kebal dan menyalahgunakan undang-undang. Hakim mesti melaksanakan hukum menurut undang-undang. Disamping itu sang hakim mesti menggunakan budibicaranya sebelum menjatuhkan hukuman. Apakah wajar seorang penganggur terpaksa mencuri makanan untuk menyara anak-anaknya dipenjara enam bulan? Walau pun mencuri itu salah dari segi hukum namun sang hakim perlu menggunakan budi bicaranya supaya dia berlaku adil berdasarkan latarbelakang yang didakwa itu.
Ingat pribahasa Melayu raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Bilamana penguasa menyalahgunakan kuasa maka tempanglah keadilan, hilanglah rasa hormat dan timbullah kebencian yang meluap-luap. Perlu ingat kuasa bukan hak mutlak manusia tapi hak mutlak Allah. Kalau kamu zalim kerana ada kuasa maka kamu juga akan menerima padahnya kalau tidak di atas muka bumi ini sudah pasti di akhirat kamu akan diadili kelak.
Dalam al-qur’ an Allah banyak kali mengingatkan para pemimpin dan penguasa yang zalim bahawa tempat mereka adalah di neraka. Hakim yang zalim, rasuah, tidak berpegang pada tali Allah sudah ada tempat khas di neraka. Begitu juga dengan para pemimpin yang super rakus, rasuah, zalim, lupa daratan yang melantik syaitan dan iblis sebagai penasihat agung mereka.
Insaflah wahai para pemimpin, hakim, ulamak, para pegawai yang menyalahgunakan kuasa dan zalim. Kuasa kalian ada hadnya. Allah boleh rebut kembali kausa milik mutlakNya bila-bila masa saja. Tali hayat kuasa kalian tidak abadi. Kalian akan menjadi debu sejarah, pusara dikencing, sumpah serakah bertimbun, maruah dan hargadiri hilang. Di atas duniaa kamu tidak berlaku adil maka di akhirat kelak kamu juga akan diadili sebagai insan biasa yang hilang segala kuasa dan kebesaran di dunia. Kamu boleh merasuah dan dirasuah sesama manusia. Tapi bolehkah kamu merasuah Allah untuk memberi tempat di syurga? Allah-hu-Akbar!

KU LI MENCELAH BETAPA PELUANG UMNO -BN MENANG PRU KE 14

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH VETERAN POLITIK UMNO, AHLI PARLIMEN DAN KETUA UMNO BAHAGIAN GUA MUSANG

PRU14: Banyak parti bertanding beri kelebihan kepada BN – Ku Li

       

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan banyak parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenanginya.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/410078#EZyYOWQryIpOiPVu.99

POTRET BERERTI TUN M, TAN SRI MUHYIDDIN DAN TENGKU RAZALEIGH

Dr Mahathir dan Ku Li jadi tarikan di majlis kenduri kahwinDr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dilihat berbual mesra ketika menghadiri majlis perkahwinan anak Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Zahid Mat Arip yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 Januari, 2018

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...