Mengenang 50 tahun Abdul Samad Gol Ahmad Mianji :Kenapa dan bagaimana beliau di bunuh?

Kelantan Dalam Sejarah: Gugurnya Abdul Samad Gul, Terus Menjadi Misteri

Chief Editor
2 years ago

Ehsan National Library Board Singapore.
Peminat tegar politik Kelantan akan berkata, anda tidak layak bercakap tentang politik Kelantan, jika anda tidak boleh bercakap mengenai kes ini.

Abdul Samad Bin Gul Ahmad Mianji, adalah pakej lengkap seorang ahli politik yang pernah lahir di bumi Kelantan. Tampan, tinggi, segak dan bergaya. Kepetahan berpidatonya hampir tiada tandingan. Keberaniannya juga begitu.

Malangnya, selepas tengah malam 3hb Julai, 1967, Samad Gul melangkah keluar dari Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di Jalan Dato’ Pati untuk kali terakhir. Beliau baru menghadiri perjumpaan sempena Maulud Nabi.

Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu itu kemudiannya berjalan kaki seorang diri menuju ke keretanya yang terletak di Jalan Hulu Pasar.

Lebih kurang jam 12.15 tengah malam, seorang mata-mata polis, Kuan Khek Nong melihat Samad berdiri berdekatan Mercedes Benz dengan tangan memekuk bahagian telinga kanannya. Kuan dapat melihat darah mengalir dari tengkuk Samad.

Apabila Kuan menghampiri, Samad menoleh dan menghulurkan kunci Mercedes kepada Kuan sambil meminta dihantar ke hospital.

Mata-mata polis itu bagaimanapun menahan sebuah kereta sewa yang melintasi di situ untuk membawa Samad mendapat bantuan perubatan.

Di dalam kereta sewa itu, Samad memberitahu Kuan, dia seorang Ahli Parlimen sebelum rebah ke hadapan dan tidak sedarkan diri.

Mereka tiba di hospital jam 12.25 tengah malam.

Pegawai perubatan bertugas, Dr. Wong Chong Wah memberi rawatan awal dan mendapati Samad di dalam keadaan separuh sedar dengan luka sepanjang 10 cm dari telinga kanan hingga ke belakang tengkuknya. Darah masih mengalir dari luka itu. Dr. Wong membuat keputusan memanggil pakar bedah.

Lima minit kemudian, pakar bedah Dr. Mohan Lall tiba. Samad didapati dalam keadaan tidak sesuai untuk pembedahan. Mohan mengarahkan 2 pint darah diberikan.

Berita Harian 4hb Julai, 1967 melaporkan, isteri Samad, Che Som Binti Mamat, seorang bidan yang bertugas di hospital pada malam tersebut segera ke bilik rawatan bila mendapat berita.

“Bila sampai, saya lihat suami saya berlumuran darah tubuhnya sedang diberi darah tambahan.

“Saya bertanya kepadanya, kenapa jadi begini?

“Suami saya menjawab, saya dipukul orang.

“Saya meminta suami saya mengucap, dan dia pun mengucap dua kali.”

Selepas itu, Samad tidak lagi sedar.

Pada 4.30 pagi, Pakar Bedah Mohan Lall mengarahkan Samad dipindahkan ke bilik pembedahan.

Pembedahan bermula pada jam 5.00 pagi. Samad berdepan dengan komplikasi pernafasan. Bantuan pernafasan yang diberikan tidak berjaya menyelamatkan Samad.

Pihak Hospital mengesahkan Abdul Samad Bin Gul Ahmad Mianji, 32 tahun, Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat meninggal dunia pada 6.00 pagi, 3 hb Julai, 1967.

Laporan rasmi hospital memaklumkan kematiannya berpunca dari kecederaan otak.

Allahyarham di kebumikan pada jam 3 petang hari yang sama di Tanah Perkuburan Kampung Dusun, 1.6 kilometer dari rumahnya di Jalan Bayam, Kota Bharu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Che Som Binti Mamat, yang waktu kejadian berusia 30 tahun dan 5 orang anak, Zaiton 10 tahun, Shamsul Kamar, 7; Muna Hairani, 4; Zulkifli, 2, dan Mohamad Iqbal, 1.

Samad Gul, ahli politik hebat Kelantan sudah tiada lagi, selepas itu yang tinggal hanya Samad Gul seorang lagenda yang tumpas pada kapak kecil yang membelah 10 cm tengkoknya, dari telinga kanan hingga ke belakang kepalanya.

Mata-mata Kuan Khek Nong di dalam inkuiri awal memberitahu Majistret Abu Mansor Bin Ali pada malam kejadian, dia telah melihat seorang lelaki berlari ke arah belakang Jalan Hulu Pasar.

Kuan yang merasa curiga telah mengejar lelaki tersebut dengan basikal.

“Saya memotong jalan dengan basikal ke Jalan Che Su, ke Jalan Temenggong dengan harapan memberkas orang itu, tetapi tidak dapat melihatnya lagi,” kata Kuan.

Kuan kemudian membuat keputusan kembali ke Jalan Hulu Pasar untuk menyiasat, dan menemui Allahyarham berdekatan keretanya.

Setelah membawa Samad ke hospital, Kuan kembali ke tempat kejadian dan memeriksa kawasan sekitar Jalan Hulu Pasar, tetapi tiada apa-apa yang ditemuinya.

Bagaimanapun apabila memeriksa lorong belakang, Kuan menemui sebilah kapak kecil di atas peti-peti ikan. Kuan memberitahu majistret,

“Pada kapak kecil itu ada kesan darah dan beberapa helai rambut.”

Pada 4.40 pagi, 4hb Julai, 1967 pihak polis telah menahan seorang penarik beca, Mat Daud Bin Sahak, 30 tahun dari Sungai Golok. Menurut ASP Sarjit Singh Gill, Mat Daud ditahan di Pengkalan Tan Hock Seng di Sungai Golok, Rantau Panjang.

SG 42

Mat Daud atau lebih dikenali sebagai Pak Dek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu yang penuh sesak dengan orang ramai pada 19hb Ogos. Di hadapan Majistret Abu Mansor Bin Ali, tuduhan ke atas Pak Dek dibaca.

Menurut pertuduhan yang dibaca, Pak Dek telah membunuh Abdul Samad di Jalan Hulu Pasar dengan menggunakan kapak kecil pada tengah malam 3hb Julai, 1967.

Pak Dek tidak dibenarkan ikat jamin.

SG 26

Pada 19 September 1967, Majistret Abu Mansor mengeluarkan perintah supaya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Timbalan Pendakwa Raya Kuala Terengganu, Talib Bin Abdul Hamin menjalankan pendakwaan, sementara Haji Hashim Bin Abdul Hamid dan C. Jegathesan bertindak sebagai peguam bela.

Pihak pendakwa bergantung kepada keterangan seorang pemandu ‘prebet sapu’, Mohamed Noor Bin Ismail, 25 tahun yang memberitahu mahkamah, tertuduh pernah bertanya samada dia kenal Samad Gul, dalam pertemuan di Golok pada bulan November 1966.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.
“Mat Daud memberitahu saya bahawa satu orang telah menyurohnya ‘katok’ Samad Gul.

“Selepas membuat kenyataan itu, Mat Daud ketawa lalu pergi,” jelas Mohamed Noor.

Bagaimanapun Mohamed Noor memberitahu Mahkamah, Pak Dek yang merupakan kawan baik tidak pernah memberitahu siapa yang mahu mengupahnya. Dia juga pada ketika itu berfikir bahawa Pak Dek hanya bergurau justeru tidak pernah melaporkan kejadian tersebut.

Ehsan National Library Board Singapore.
Ehsan National Library Board Singapore.
Pendakwa kemudian cuba meletakkan Pak Dek di tempat kejadian pada malam pembunuhan berlaku. Untuk tujuan tersebut pendakwa mengemukakan kepada mahkamah seorang pegawai polis trafik, Hasnan Bin Abdullah yang mengaku melihat Pak Dek sedang berjalan di Jalan Hilir Pasar pada 11.45 malam 2hb Julai, 1967. Iaitu 30 minit sebelum mata-mata polis menemui Abdul Samad Gul dalam keadaan berlumuran darah.

Di dalam keterangannya, Hasnan memaklumkan kepada mahkamah,

“Pada kira-kira jam 11.15 malam itu saya pergi ke sebuah kedai di hadapan panggong wayang Odeon untuk makan mee.

“Saya kemudian berjalan pulang di Jalan Sultanah Zainab, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan Hilir Pasar.

“Dia (tertuduh) memakai seluar biru tua dan baju biru dan menuju ke tempat letak teksi,” kata Hasnan.

Di dalam keterangannya, Hasnan juga memberitahu bahawa Pak Dek adalah kawannya. Sewaktu dia bertugas di Pasir Mas, dia sering menaiki beca Pak Dek untuk ke Golok.

Selain daripada Hasnan, pendakwa juga mengemukakan seorang lagi saksi bernama Sa’ad Bin Hassan, 30 tahun. Saad seorang pemandu beca memberitahu mahkamah melihat seorang lelaki berlari ke arah satu lorong dekat Jalan Temenggong pada tengah malam di hari kejadian.

Bagaimanapun Sa’ad tidak dapat melihat wajah lelaki tersebut. Sebaliknya dia hanya mengenalpasti lelaki itu sewaktu kawad cam menerusi saiz tubuh.

Pada 3hb April 1968, Yang Arif Syed Othman Ali membuat keputusan membebaskan tertuduh, Mat Daud Bin Sahak tanpa dipanggil membela diri.

Hakim bersetuju dengan peguam bela bahawa tertuduh tidak perlu dipanggil membela diri terhadap keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwa.

Hakim berpendapat bahawa memang Abdul Samad telah dibunuh dengan niat tetapi tidak yakin pihak pendakwa membuktikan Mat Daud adalah pembunuh Abdul Samad berdasarkan bukti-bukti yang dihadapkan ke mahkamah.

Hakim berpendapat, kenyataan dua saksi utama pendakwa hanya berkisar kepada kemungkinan-kemungkinan sahaja.

“Dalam perbicaraan jenayah khususnya dalam perkara bunuh, kita tidak ambil hirau terhadap kemungkinan-kemungkinan atau keterangan yang merupakan agak-agak,” jelas Yang Arif ketika menyampaikan keputusannya.

Hakim memberitahu semua keterangan perlu menunjukkan ke satu arah sahaja, iaitu yang tertuduh adalah orang yang melakukan kesalahan. Sebaliknya, didalam kes ini, keterangan dari saksi-saksi pendakwa menunjukkan bahawa tertuduh boleh jadi tidak bersalah.

Walaupun tertuduh dilihat berdekatan tempat kejadian tetapi tidak ada bukti menunjukkan tertuduh berada ditempat kejadian sewaktu mangsa diserang. Atau tidak ada saksi yang memberi keterangan melihat tertuduh bersama kapak kecil sebelum kejadian.

Sebaik keputusan diumumkan, Mat Daud berjabat tangan dan memeluk kedua-dua peguamnya. Beberapa rakannya yang hadir turut memberi ucap tahniah.

Penduduk Kelantan yang mengikuti perbicaraan dengan penuh minat, terkejut dan kecewa. Khabar-khabar angin terus tersebar. Semenjak hari itu sehinggalah ke hari ini, setiap kali nama Allahyarham disebut, pelbagai teori konspirasi akan terus menghangatkan perbualan di hadapan nasi berlauk dan nasi kerabu pagi.

Nota:

Ucapan terima kasih kepada sdr. Mohamad Iqbal Bin Abdul Samad yang memberi beberapa input mengenai Allahyarham, untuk melengkapkan artikel ini.

Warga Sokmo.Net merakamkan ucapan takziah kepada waris dan anggota keluarga Allahyarham. Apa yang terpaksa dilalui oleh mereka amat-amat menyayat hati. Kepergian Allahyarham pada usia begitu muda merupakan kehilangan besar. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan kekasih-kekasihNya. Al Fatihah.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.

DETIK-DETIK ALLAYARHAM DIBUNUH

MALAM itu, dalam tahun 1967, 2 Julai, lampu-lampu di jalan  Datuk Pati dan jalan berhampiran  seperti letih bercahaya, seorang lelaki berjalan gagah menuju kereta yang di pakir di sela-sela deretan bangunan yang kumuh.

MALAM itu, dalam tahun 1967, 2 Julai, lampu-lampu di jalan  Datuk Pati dan jalan berhampiran  seperti letih bercahaya, seorang lelaki berjalan gagah menuju kereta yang di pakir di sela-sela deretan bangunan yang kumuh.

Tiba-tiba, saat mahu membuka pintu kereta, satu pukulan keras  tepat mengenai kepalanya. Lelaki yang masih muda itu rebah – tewas (di rumah sakit).  Algonjo kabur.

Hari ini (2 Julai), genap 46 tahun tragedi hitam itu berlaku, namun ia seperti semalam terjadi, ingatan sentiasa segar, terutama ketika berjalan melewati lokasi Medan Ilmu yang menepatkan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan, kerana di situlah, Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir (PAS) Abdul  Samad Gul Ahmad Mianji (gambar) tewas akibat tusukan kapak kecil di kepalanya.

Malam itu, Almarhum menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul saw anjuran PAS di Banguan PAS. Setelah majlis usai, ia berjalan  ke kereta, dalam cahaya lampu yang samar-samar itu, algonjo menunggu untuk menamatkan riwayatnya.

Selain Yang Dipertua  PAS Kawasan Pasir Mas Hilir dan Ahli Parlimen kawasan itu, Almarhum  juga sebagai Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Jawatankuasa Agung PAS Pusat.

Almarhum terkenal sebagai pemidato terbaik, sehingga kelantangan dan keberaniannya digeruni seteru politik PAS ketika itu. Kematiannya secara tragis adalah gambaran  betapa   kalutnya pemikiran politik awan (1960an).

Almarhum dikebumikan sianghari 3 Julai 1976 di kawasan tanah perkuburan tidak jauh dari rumah kediamannya di Jalan Bayam, Kota Bharu. Beribu-ribu  pendukung  PAS ikut serta menghantar jenazah ke tempat persemadiannya.

Sebaik saja jenazah di bawa turun dari rumahnya, Pesuruhjaya PAS Kelantan ketika itu, Ustaz Khaidir Khatib membaca sebuah puisi khusus buat Almarhum:

SEKARANGAN BUNGA

Dikelubungi suasana sedih dan sayu,
kami terima berita kematianmu,
terkorban di hujung senjata musuhmu,
yang tak sanggup berdepan denganmu sebagai anak lelaki.

Kegagahanmu berjuang membangkitkan semangat anak bangsamu,
menimbulkan rasa gerun di hati lawan-lawanmu,
Kini engkau pergi dipanggil Tuhan,
yang tinggal pada kami hanya kenangan dan kesedihan.

Bertepuk tanganlah orang-orang di sebelah sana dengan sebab ketiadaanmu,
menari dan berpesta mereka di lambung riang,
tetapi kami semua adalah Samad!
kami rakan seperjuanganmu,
kami telah bertekad tak akan berganjak dari garis ini,
Biar bumi ini hangus dan kami semua menjadi abu.

Zulkliflee dan Asiah telah lama pergi, kini engkau pula berangkat pulang,
istirehatlah wahai roh-roh yang mulia, redha dan diredhai Tuhan daftar syuhada masih panjang dalam barisan kita,
setiap kami yang tinggal akan merelakan diri,
untuk hancur demi keagungan agama Allah yang mulia ini.

Itu bendera ALLAH MUHAMMAD masih berkibar,
Seorang Samad boleh dibunuh tetapi seratus Samad akan datang
mengambil tempatnya.

Perjuangan ini akan bertambah hebat dan seru
dan akan bergilirlah para Mujahid mencari syahid,
ALLAHU AKBAR, di bawah panji-panji kalimah tauhid kami sedia lebur,
dilindungi Rahim dan RahmanMu, Oh Allah!
terimalah segala amal kebaktian saudara kami ini,
yang untuk Engkau dan kerana Engkau dia berjuang

Al- Fatihah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *