KEBANGKITAN EKONOMI INDONESIA HARUS DISAINGI OLEH MALAYSIA !

EVOLUSI EKONOMI INDONESIA, INSPIRASI BUAT PAKATAN HARAPAN

Ketika kerajaan pusat Malaysia pimpinan Najib Razak sedang bergelut untuk memulihkan imejnya dari skandal-skandal peringkat domestik dan antarabangsa menjelang PRU yang bakal menjelma, rantau Asia Tenggara ini telah dikejutkan dengan pemberian anugerah menteri terbaik dunia kepada Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dalam Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai pada 11 Februari 2018 lalu. Anugerah tersebut suatu tamparan hebat kepada reputasi Menteri Kewangan Malaysia iaitu Perdana Menteri Najib Razak kerana ia dijadikan perbandingan oleh netizen dan masyarakat antarabangsa.

Mereka tertanya-tanya apa sudah jadi dengan “Najibnomics”? Bukankah Najib pernah berkata BR1M dan GST boleh membantu perkembangan ekonomi negara agar setanding dengan negara-negara berpendapatan tinggi?

Maka kenapa pula Menteri Kewangan Indonesia yang diiktiraf dunia sebagai menteri terbaik dunia sedangkan selama ini Malaysia mendahului negara-negara rantau ini dalam perihal pertumbuhan ekonomi hingga pernah digelar Harimau Asia ketika era 90-an.

Indonesia di bawah kepimpinan Presiden Joko Widodo ternyata telah berjaya melakukan revolusi ekonomi walaupun bukan dalam skala negara China, namun perubahan sosio-ekonomi warga Indonesia ke arah lebih baik kian terasa lebih-lebih lagi beliau memilih individu yang tepat untuk menjadi Menteri Kewangan negaranya.

Adalah tidak salah untuk warga Malaysia merendah diri mengiktiraf kejayaan Indonesia di era Jokowi ini untuk keluar dari ketidak-tentuan ekonomi pasca Soeharto.

Reformasi yang terjadi di negara tersebut setelah Krisis Matawang Asia 1997 sungguhpun pahit pada awalnya telah mula menunjukkan sisi positifnya di negara jiran kita tersebut. Indonesia sebagai salah satu negara terbesar di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nya di tangga ke-16 dunia mampu untuk menjadi kuasa besar Asia seterusnya setelah kebangkitan China.

Ironisnya suatu ketika dahulu, warga Indonesia melihat Malaysia sebagai sumber inspirasi kebangkitan ekonomi terutama ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. Hinggakan Tun Dr. Mahathir dianggap sebagai “Soekarno Kecil” oleh pihak media serta tokoh-tokoh pemimpin Indonesia.

Kemuncaknya, Tun Dr. Mahathir telah dianugerahkan pingat “The Star of Soekarno” oleh Yayasan Pendidikan Soekarno pada 27 September 2015 di negara tersebut. Begitu warga Indonesia mengkagumi ketokohan Tun Dr. Mahathir yang mereka anggap mempunyai keberanian serta visi yang menyamainya Bapa Kemerdekaan Indonesia, Allahyarham Soekarno.

Berbalik kepada evolusi ekonomi Indonesia di bawah Presiden Jokowi, ia turut mendapat perhatian negara Jepun sehinggakan akhbar perdagangan terkenal Jepun, Nikkei pada 24 Disember 2017 mengulas kebangkitan ekonomi Indonesia yang mereka jangka akan dapat menandingi Jepun di kedudukan ke-4 dalam senarai ekonomi terbesar dunia pada tahun 2050 jika Indonesia mengekalkan momentum kestabilan serta pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan seperti sekarang.

Sekarang ini pun sudah banyak produk-produk terutamanya makanan dari Indonesia yang di-import ke negara kita. Dan banyak juga usahawan-usahawan tempatan yang melebarkan sayap perniagaan mereka ke Indonesia kerana mereka sedar bahawa Indonesia merupakan peluang pasaran yang lebih besar.

Sewajarnya semangat MAPHILINDO iaitu kesatuan strategik antara negara-negara besar Nusantara seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina dihidupkan kembali agar rantau ini dapat membentuk blok ekonomi dunia yang baru sepertimana Kesatuan Eropah yang akhirnya kelak dapat mempengaruhi keseimbangan kuasa ketenteraan, budaya serta teknologi dari negara-negara kuasa besar dunia terutamanya China yang berada di kedudukan paling dekat dengan rantau ini.

Justeru itu Manifesto Pakatan Harapan yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, akan memacu pertumbuhan ekonomi negara ini sambil memperbaiki kebajikan sosial, tahap khidmat kesihatan nasional, bidang pendidikan, mempermantapkan lagi bidang pengangkutan awam dan banyak lagi penambah-baikan dalam struktur urus tadbir negara.

Matlamat kita ialah untuk menuju tahap negara maju melalui KESEJAHTERAAN RAKYAT MARHAEN, bukannya kesejahteraan golongan elitis sahaja. Malaysia sewajarnya menjadi contoh kepada negara-negara membangun yang lain.

Pada 14 April 2014 dahulu ketika Tun Dr. Mahathir melawat kediaman mantan Presiden Indonesia ke-5, Megawati Soekarno Putri, pihak wartawan bertanyakan pendapat negarawan kita tersebut, adakah Joko Widodo akan memenangi PRU negara tersebut lantas menjadi Presiden Republik Indonesia ke-7, Tun Dr. Mahathir menjawab, beliau mendoakan agar Bapak Jokowi berjaya menjadi Presiden Indonesia seterusnya.

Alhamdulillah doa Tun Dr. Mahathir tersebut akhirnya termakbul dan sekarang Indonesia berada dalam landasan yang sepatutnya. Manakala Malaysia pada hari ini, bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila negara kita dilaporkan berada di tangga ke-62 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah 2017 (CPI) berbanding ke-55 daripada 176 negara pada 2016.

Dr. Muhammad Faiz Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM
AJK Penerangan Pakatan Harapan Negeri Selangor

22 Februari 2018

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *