PERTAMA KALI PAUS PEMBUNUH MUNCUL DI PERAIRAN TERENGGANU

Paus pembunuh muncul di perairan Terengganu
BERNAMA | | 17 Julai 2019

Paus Orca atau Killer Whale muncul buat pertama kali di perairan Terengganu dengan kehadirannya dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh pada Selasa.

KUALA TERENGGANU – Sepasang Paus Orca atau Killer Whale muncul buat pertama kali di perairan Terengganu dengan kehadirannya dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh pada Selasa.

Kemunculan paus itu disedari beberapa kakitangan Petronas dan video berdurasi 30 saat dan detik bersejarah itu berjaya dirakam kakitangan pelantar itu.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa mamalia itu adalah Paus Orca atau nama saintifiknya Orcinus Orca.

“Mengikut rekod yang terdapat di FRI Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Paus Orca tidak pernah muncul di Terengganu dan tarikh 16 Julai 2019 adalah rekod pertama paus itu muncul di perairan ini.

“Kami percaya kedua-dua mamalia marin itu adalah sepasang paus jantan dan betina yang menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka,” katanya.

Saiz paus itu dianggarkan antara enam hingga lapan meter dengan anggaran berat 5,000 hingga 6,000 kilogram setiap satu. Mengulas lanjut, beliau berkata Paus Orca itu sangat digeruni kerana ia adalah pemangsa teratas dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dengan memakan sotong, penyu, burung laut, jerung serta mamalia marin lain termasuk anjing laut dan ikan lumba-lumba.

“Ada kalanya paus ini juga menyerang manusia seperti kejadian yang sering berlaku di luar negara. Paus ini mula menjadi perhatian umum dan dibela dalam kurungan bermula tahun 1960-an sehingga hari ini.

“Sesetengah negara yang mempunyai taman tema akuarium laut seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Jepun, mereka melatih paus ini supaya lebih mesra dengan masyarakat dengan tujuan konservasi, pendidikan dan pertunjukan,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/38428/BERITA/Nasional/Paus-pembunuh-muncul-di-perairan-Terengganu?utm_source=izooto&utm_medium=push_notifications&utm_campaign=Paus pembunuh muncul di perairan Terengganu&utm_content=&utm_term=
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *