Mengenang Tan Sri Aziz Abdul Rahman

MENGENANG TAN SRI AZIZ ABDUL RAHMAN

Ada satu parabel tentang orang buta yang cuba mengulas bentuk seekor gajah. Kerana gajah itu terlalu besar, jika si buta meraba belalainya, maka dia akan mengatakan gajah itu umpama hos air; jika dia meraba kakinya, si buta akan mengatakan ia seperti tiang-tiang kukuh; atau jika dia meraba perutnya, maka si buta akan mendakwa gajah itu umpama dinding.

Demikianlah kita apabila cuba mencerna seseorang yang begitu besar ketokohannya dalam banyak sisi, maka kita menjadi seperti si buta yang meraba seekor gajah.

Kita boleh menyorot al-marhum Tan Sri Aziz Rahman dari aspek pegawai kerajaan (beliau adalah pegawai daerah yang menurunkan bendera Union Jack ketika merdeka 1957 di Kelantan, selain keterlibatannya dalam Majlis Gerakan Negara — MAGERAN — yang banyak merangka dasar dan undang-undang penting, termasuk Akta Hasutan); atau boleh juga menyorot ketokohan Tan Sri Aziz sebagai ahli korporat (kita tahu beliau mengepalai Malaysia Airlines dengan penuh jaya — ketika mengambil alih syarikat itu pada tahun 1981, MAS sedang menampung defisit RM39 juta, tapi setelah beliau menerajuinya, beliau meninggalkan syarikat itu dengan rizab tunai RM5 billion!); atau kita juga boleh mengulas ketokohannya sebagai peguam; bahkan jangan dilupai juga keterlibatannya dalam arus aktivisme.

Saya tidak boleh dakwa kenal Tan Sri Aziz secara peribadi, tetapi pernah bertemu dengannya dalam banyak program, dan juga ada beberapa kali bertandang ke rumahnya untuk urusan melibatkan dunia aktivisme perundangan.

Setiap kali bertemu, beliau tak pernah jemu berkongsi pengalamannya yang panjang, dan beliau sepertinya tak pernah sehari pun lupa untuk memikirkan masalah bangsanya. Antara benda yang beliau selalu tekankan:-

“Kita harus kukuhkan Majlis-Majlis Agama Islam di semua negeri. Ini adalah titik kekuatan kita. Masa saya muda jadi pegawai kerajaan di zaman British dulu, pegawai British bagi tahu pada saya bahawa mereka sebagai orang putih tidak akan usik atau sentuh hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu, sebab itu bidangkuasa ekslusif Majlis Agama. British bagi tahu orang Melayu patut bina ekonomi dalam Majlis Agama, tapi masa tu saya masih pegawai muda, jadi tak berapa ambil serius sangat. Bila kemudian-kemudian saya ingat balik, baru saya faham apa yang dimaksudkan.

“Macam mana nak kukuhkan orang Melayu dan orang Islam di negara ini, saya ada formulanya, tapi sampai sekarang tak diberi perhatian sewajarnya.

“Pertama sekali, Majlis Agama Islam ada mengutip zakat. Kutipan zakat beratus-ratus juta di setiap negeri, kalau campur semua berbilion. Selain itu juga kita ada wakaf. Institusi wakaf dan zakat ni adalah titik kekuatan kita. Dari sinilah kita boleh bina ekonomi orang Melayu dan Islam. Majlis-Majlis Agama mesti lantik ahli ekonomi untuk menerajui cabang ekonomi Majlis-Majlis Agama Islam. Islam ini bukan sekadar soal hukum-hakam, halal-haram sahaja. Islam juga ada cabang ekonomi. Cabang ini perlu dibesarkan, diperkuatkan, diperkukuhkan. Majlis Agama boleh buka ruang kepada ahli ekonomi menerajui cabang ekonomi Majlis. Kalau kita dapat tumpukan kepada satu perkara ini, insyaAllah banyak masalah orang Melayu dan Islam dapat kita selesaikan.”

Demikianlah kira-kira kata beliau, dan sudah tentu, saya sekadar paraphrase, sebab sekadar menulis dari ingatan.

Selain itu, antara perkongsian menarik Tan Sri, ialah bahawa beliau adalah orangnya yang bertanggungjawab memperkenalkan istilah ‘Akta’ bagi merujuk kepada naskhah undang-undang di Malaysia. Sebelum ini, undang-undang di Malaya masih dirujuk sebagai Act (walaupun dalam bahasa Melayu). Act Hasutan, misalnya. Kita ada istilah khusus ‘kanun’, tetapi ia hanya dipakai untuk merujuk kepda ‘code’ seperti Penal Code bagi Kanun Keseksaan, bukan untuk Act. Justeru sebelum bermesyuarat di DBP, beliau belek-belek kamus Indonesia dan menemui istilah Akta yang dipinjam dari bahasa Belanda ‘Akte’, yang asalnya lagi dipinjam dari bahasa Latin. Istilah inilah yang dicadangkan, dan ternyata diterima oleh DBP, maka demikianlah naskhah undang-undang hari ini kita panggil Akta.

Beliau juga antara orang penting di belakang Akta Bahasa Kebangsaan, dan pernah mengeluh, hakim di Mahkamah hari ini terlalu mudah-mudah menggunakan bahasa Inggeris untuk prosiding di Mahkamah, kononnya atas “kepentingan keadilan”. Seksyen 8(1) Akta Bahasa Kebangsaan sudah sejala jelas memperuntukkan semua prosiding Mahkamah di semua peringkat mesti menggunakan bahasa kebangsaan, tetapi seksyen 8(2) memperuntukkan kelonggaran menggunakan bahasa Inggeris, jika diperlukan demi “kepentingan keadilan”.

”Waktu dirangka undang-undang itu, memang kita masukkan peruntukkan kelonggaran itu, tapi bukan untuk mudah-mudah dilanggar disalah-gunakan untuk semua prosiding menggunakan bahasa Inggeris, tanpa usaha memartabatkan bahasa Melayu. Ia cuma untuk keadaan-keadaan tertentu dan khusus sahaja.”

(Sekali lagi, saya sekadar paraphrase dari ingatan).

Hari ini, kita benar-benar telah kehilangan seorang negarawan yang autentik. Cakupan sumbangannya menjalar dalam banyak cabang — undang-undang, perlembagaan, bahasa, ekonomi, agama.

Saya berharap anak-anak muda hari ini dapat jadikan beliau role-model: bahawa anda tidak perlu masuk politik kepartian atau jadi ahli politik untuk menyumbang kepada negara. Bahawa politik bukanlah jalan penyelesaian untuk membina negara-bangsa. Tan Sri Aziz tidak pernah terlibat dengan politik kepartian, tetapi sumbangannya kepada negara alangkah besarnya.

Al-fatihah dan moga rohnya dicucuri rahmat.

*Gambar ketika rombongan Concerned Lawyers for Justice (CLJ) ke rumah al-marhum pada 6 Julai 2018 bagi membincangkan mengenai ICERD dan isu-isu cabaran ke atas keutuhan Perlembagaan Persekutuan.-sumber fb Aidil Khalid

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *