PENCERAHAN SEKITAR KRISIS PERLANTIKAN MB SELANGOR

SELANGOR – KRISIS DEMOKRASI
Ketika tulisan ini digarap perlantikan Menteri Besar Selangor masih belum tuntas. Nama-nama yang dicadangkan kelihatan ‘bertaburan’ disebut-sebutkan oleh media baru dan lama. Ada yang saheh dan ada yang ‘angin-angin’.
Dilaporkan oleh media bahawa Presiden Pas Haji Hadi Awang telah menghantar tiga nama ke Istana. Kesemua nama dari partinya. Nama siapa ini? Hanya Hadi Awang sahaja yang tahu. Manakala DAP – telah menghantar hanya satu nama : Wan Azizah Wan Ismail. Parti Keadilan Rakyat juga telah menghantar satu nama: Wan Azizah Wan Ismail.
Satu nama lagi yang disebut media ialah nama Azmin Ali. Nama ini TIDAK disenaraikan oleh PKR. Tidak disenaraikan oleh DAP. Tidak ada parti politik dalam Pakatan Rakyat yang mengajukan nama Azmin Ali kepada Istana. Maka nama yang TIDAK disenaraikan ini sedang dan pasti akan menimbulkan permasalahan besar.
Pekara besar inilah yang wajib difahami dan disedari oleh rakyat Malaysia. Lebih besar dari nama Azmin Ali. Pekara-pekara ini bukan hanya melibatkan ahli PKR atau penyokomg Pakatan Rakyat. Pekara-pekara ini amat fudumental yang melibatkan kesedaran seluruh rakyat Malaysia – tanpa mengira parti dan mazhab.
Pekara ini ialah tentang demokrasi. Demokrasi di Malaysia ini berkait rapat dengan Raja Berpelembagaan. Justeru tulisan ini akan cuba memberi pencerahan tentang demokrasi dalam konteks raja berpelembagaan.
Pertamanya tulisan ini menolak kesah-kesah karut marut tentang asal usul raja atau sultan. Sultan dan raja muncul dalam evolusi perkembangan tamadun manusia. Raja muncul merata-rata diseluruh dunia. Kemunculan mereka ini sama sahaja bentuk dan labonnya. Raja lahir ketika masyarakat pertanian masih dalam tahap paling awal. Sosok ini menjadi raja untuk memimpin kaum tani, kawasan pertanian dan menjaga kepentingan kampong.
Justeru – hari ini – tidak masuk akal kalau raja masih dianggap mewakili tuhan. Atau dianggap jelmaan tuhan diatas muka bumi ini. Ini hanya mistos yang muncul dalam zaman ‘gelap’. Pencerahan telah membuka minda ummat yang boleh mentakrifkan apa yang tahyul, apa yang karut dan apa yang rasional masuk akal.
Di Tanah Melayu , saperti di negara-negara lain dalam dunia ini – raja dan sultan wujud. Zaman feudal ini bukan satu yang memalukan. Ini sebahagian dari sejarah tamadun bangsa. Tidak ada tamadun bangsa-bangsa dalam dunia ini yang dapat melarikan dari evolusi kemunculan kaum feudal ini – kecuali bangsa-bangsa yang tahap tamadunnya belum enap stabil dalam bentuk ekonomi pertanian dan mereka dilaggar penjajah yang membawa moden.
Apabila Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris datang ke Tanah Melayu – raja memainkan peranan kepimpinan yang gemilang. Kuasa ekonomi Raja Melayu kini dicerbohi oleh ‘orang luar’ i.e penjajah. Maka kita lihat Dato Bahaman, Mat Kilau, Maharaja Lela, Dol Said, Tok Gajah – bangun mengangkat senjata melawan penjajah. Mereka ini adalah ”kaum kerabat orang Istana’ sebahagian dari struktur feudal.
Penjajah Belanda dan Portugis – kuasa penjajah awal telah ‘melutu dan menggasak’ kaum feudal. Ini membawa penentangan hebat dari anak tanah jajahan. Kuasa kolonial fascist Jepun ganas – justeru dapat tentangan dari semua kelas dan gulungan.
Pengalaman kuasa penjajah awal ini telah dikumpulkan oleh British. British menggunakan taktik – pecah dan perentah. Dengan licik kuasa kolonial British telah menggunakan sistem feudal ini untuk menampong dan membantu kuasa penjajah merampok dan menjarah hasil kekayaan tanah jajahan. Ada raja dinobatkan oleh British. Ada raja yang melawan British  dihalau keluar negeri atau dihantar ke Lautan Hindi. Inilah yang berlaku di Tanah Melayu.
Sistem feudal – raja dan sultan – tidak diganggu gugat. Berperang dengan Bahaman dan Maharaja Lela membawa belanja yang amat besar. East India Company datang ke Tanah Melayu untuk mencari laba bukan datang berziarah untuk mengembangkan silatul rahim beramal jariah.
Apabila mengundur kuasa kolonial British telah meninggalkan satu Perlembagaan yang menyerupai sistem pentabiran Parlimen Raja Berpelembagaan – saperti yang wujud di England. Baginda Queen telah digantikan dengan Yang DiPertuan Agong. Adat istiadat Melayu dan agama Islam telah diwakafkan kepada raja dan sultan. Ahli Parlimen – dewan rakyat dan dewan negeri – membuat hukum dan undang-undang. Para YB ini dipilih melalui pilihanraya.
Jika kita baca semuanya nampak cun dan bergetah. Tetapi dalam realpolitik hakikatnya ialah apa yang sedang kita perhatiklan berlaku di Selangor. Ini realpolitik dalam negara Dunia Ketiga.
Apa yang sedang berlaku adalah contoh terbaik dimana sistem raja berpelembagaan telah terpesong dan menjadi lucah. Untuk memahami ini kita kembali melihat apa yang telah berlaku di Perak 2009. Kes Perak ini telah dijadikan rujukan atau ‘precedent’ dalam bahasa undang-undang. Nizar Jamaluddin – Menteri Besar dari Pakatan Rakyat telah digantikan dengan Zambry Kadir dari Barisan Nasional.
Ini berlaku diatas hujah bahawa Zambry memiliki sokongan terbanyak dalam Dun Perak. Sokongan terbanyak ini diyakini oleh sultan maka Zambry Kadir dilantik sebagai MB Perak. Kes tutup. Perlembagaan ditaati.
Di Selangor kita lihat pekara yang sama berulang. Khalid Ibrahim hilang kepercayaan dari partinya. Khalid gugur sebagai MB Selangor. Dr. Wan Azizah mendapat sokongan 30 Adun Selangor. Jumlah Adun Selangor ialah 56 orang – justeru 30 Adun adalah angka majoriti. Maknanya Wan Azizah pemilik suara majoriti.
Seharusnya jika mengikut raja berpelembagaan dan mengikut rujukan Kes Perak – Wan Azizah adalah MB Selangor yang baru. Ini TIDAKberlaku. Kong kalikong terjadi. Putar alam belit membelit berlaku. Dari kedegilan Khalid Ibrahim hingga ke dulak dalik Hadi terserlah. Maka masuk pula sosok yang bernama Azmin Ali.
YB Azmin Ali – di ulangi sekali lagi – namanya TIDAK ada dalam senarai. PKR – partinya sendiri TIDAK mencalonkan dirinya. Malah si Azmin ini adalah salah seorang dari 30 Adun yang menyokong Dr Wan Azizah. Malah Azmin telah menanda tangani surat Akuan Bersumpah untuk menyokong Wan Azizah.
Jika Azmin Ali dipilih oleh Istana maka ini adalah pilihan Istana. Maka jelas dilihat, jelas dibaca bahawa Azmin bukan pilihan PKR. Bukan pilihan Pakatan Rakyat. Azmin TIDAKmewakili kepentingan PKR atau Pakatan Rakyat – jauh sekali rakyat. Azmin akan dilihat dan dibaca sebagai mewakili sultan. Timbul persoalan untuk kurun ini : dari bucu mana Istana mengutip nama Azmin. Inilah yang menjadi persoalan hakiki.
Hakikatnya – jika Istana boleh mengutip nama – makaTIDAK perlu Selangor malah Malaysia juga TIDAKperlu mengadakan pilihan raya. Mungkin saban tahun , atau lima tahun sekali atau bila-bila masa sahaja si sultan boleh memilih sesiapa sahaja – malaon mana pun – untuk menjadi Menteri Besar atau Menteri Kabinet waiama Perdana Menteri sekali pun.
Justeru, pada hemat saya – apa yang sedang kita lalui ini bukan hanya tentang Selangor, tentang PKR atau tentang Azmin atau Wan Azizah. Diakui – mereka semua ini adalah pemain utama tetapi dibelakang nama-nama ini ada yang lebih penting.
Pada hemat saya yang paling penting ialah pemahaman kita semua tentang apa itu demokrasi. Apa itu suara ramai. Apa maknanya suara majoriti. Apa maknanya parlimen. Sebagai anak semua bangsa – apakah yang kita fahami tentang raja berpelembagaan.
Untuk saya ini lebih penting kerana ianya membawa implikasi yang maha jauh. Sesudah Azmin atau Wan Azizah atau Hishamuddin Rais mati – negara yang bernama Malaysia ini akan terus wujud. Ahli politik pergi dan datang. Kemenangan jangka pendek hanya kemenagan pendek.
Apa yang berlaku di Selangor ini adalah penglucahan proses demokrasi. Kesongsangan akidah dalam pemahaman apa itu suara majoriti. Para politikus mendahulu kepentingan diri. Ini dibantu pula oleh kegagalan kita semua sebagai warga untuk bersuara dan menyatakan apa yang benar dan apa yang salah. Nilai salah benar kita menjadi lucah. Paling sedih adalah kegagalan lembaga feudal yang dinobatkan oleh Perlembagan dalam bentuk Sultan.
Kegagalan yang saya maksudkan ialah kegagalan lembaga feudal untuk melintasi yang duniawi. Melihat dari mata hati Ratu Adil. Membawa keadilan bukan sahaja ke Selangor malah ke atas muka bumi ini.
Kini anak semua bangsa melihat lembaga feudal ini bertentangan dengan konsep demokrasi. Kegagalan feudal untuk menghormati suara majoriti akan membawa implikasi yang maha lama. Pada ketika ini kegagalan lembaga ini semakin dilihat jelas. Buruknya sistem feudal ini terserlah. Terbukti – krisis Selangor membuka ruang dimana raja atau sultan boleh memilih sesiapa sahaja.
Saya yakin dari keburukan ini pasti akan muncul satu sistem yang dapat menghormati dan menobatkan rasa hati dan pilihan majoriti rakyat.
EPILOK
Ketika tulisan ini tamat ditulis nama MB Selangor yang baru masih dirahsiakan. Ini adalah tanda-tanda zaman.
Pada satu ketika dahulu – dalam hikayat-hikayat Melayu lama – sebelum Menteri dilantik canang dan tabuh telah dipalu. Rakyat saentero negeri dijemput bertandang menyambut kedatangan Sang Menteri.
Yang capek datang bertongkat
Yang buta tertanya tanya
Yang pekak membakar meriam
Yang bisu bertunda-tunda
Nasi mendidih menganak sungai
Kerak nasi membusut jantan
Hampas kelapa menutup pandang
Tujuh hari tujuh malam
Sultan kenduri gegak gempita
Menyambut Menteri baru dikata
Sekarang ini:
Yang majoriti ditolak pergi
Yang rasuah dipanggil mari
Yang kelentong dijemput datang
Yang dulak dalik imam sembahyang
Nama MB masih rahsia lagi. (TT)
HISHAMUDDIN RAIS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *